PENGENALAN AGAMA DI DALAM KAD PENGENALAN -
APA YANG HENDAK DITAKUTKAN ?
 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berasa terkejut dengan apa yang dikatakan bangkangan orang ramai mengenai pengenalan agama di dalam Kad Pengenalan yang mana Kabinet terpaksa akur sehingga meminda cadangan tersebut terhad kepada orang Islam sahaja.

ABIM berasa hairan apa masalahnya dengan cadangan ini memandangkan kita juga berbangga menyatakan kepada dunia akan keunikan negara Malaysia yang mempunyai berbagai bangsa dan agama dapat hidup harmoni, aman dan damai.

Perlembagaan Perkara 3(1) juga memperuntukkan agama Islam adalah agama Persekutuan dengan agama lain diberi kebebasan untuk diamalkan.

Bagi umat Islam, pengenalan diri sebagai beragama Islam amatlah penting kerana Islam itu sendiri adalah suatu cara hidup yang menyeluruh yang mengesahkan hal perkahwinan, perceraian, pendidikan, kematian, pembahagian harta pusaka, zakat dan meliputi semua aspek kehidupan.  Islam bukan hak individu.  Ianya hak individu dan juga hak masyarakat

Islam melihat kepelbagaian agama dan bangsa serta keturunan untuk kenal mengenal dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah Ta`ala sebagaimana firmanNya di dalam Al  Quran.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.  Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALlah ialah orang yang paling bertakwa diantara kamu". (Al Hujurat 26:13)

ABIM tidak dapat menerima hujah bahawa agama adalah hak individu, sensitif dan penganutnya mungkin didiskriminasi oleh pihak tertentu.  Kita tidak sepatutnya terikut-ikut dengan perkembangan agama di Barat yang menganggap agama adalah hak peribadi yang tiada kaitan dengan kenegaraan.  Malaysia harus terus mengekalkan keunikannya.

ABIM juga hairan mengapa ianya harus dikatakan sensitif.  Apa yang hendak ditakutkan.  Bukankah selama ini agama lain boleh mengamalkannya secara bebas sehinggakan setiap perayaan besar diberi cuti umum dan perarakan besar-besaran diizinkan malah kerajaan menjadikannya tarikan kepada pelancung asing?.

Mengapa pula dikatakan diskriminasi akan berlaku sekiranya pengenalan agama dibuat?  ABIM berpandangan bahawa rujukan agama dalam Kad Pengenalan tidak patut dijadikan isu sama sekali dan adalah amat malang, Kabinet telah membuat keputusan mundur kebelakang.  Kalaupun ada masalah atau penyimpangan di mana-mana, ianya boleh ditangani secara administratif dan bukannya dengan perubahan dasar.  Janganlah pilihan raya dijadikan medan untuk mencari kesempatan mendesak perkara-perkara yang sebenarnya unsur kepada kekuatan negara ini.  Kerajaan pula diharap tidak tunduk kepada sebarang tekanan oleh mana-mana pihak hanya kerana pertimbangan untuk menang di dalam pilihan raya.

Sesungguhnya Bangsa Malaysia yang ingin dicapai bergantung kepada sejauh mana rakyatnya patuh kepada hidup beragama.  Inilah keunikan Malaysia.

AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Presiden