DR. MAHATHIR MEMPERKUDAKAN ISLAM

ROSLAN SMS

Sejak akhir-akhir ini dalam keghairahan beliau untuk membuktikan kepada dunia bahwa beliau adalah pemimpin dunia ketiga yang paling bijak dan pintar Dr. Mahathir seringkali tidak sedar yang beliau sesungguhnya menyerang dirinya sendiri. Barangkali usia telah benar-benar memakan dirinya.

Dalam tulisan beliau yang terbaru dalam akhbar Jepun “Mainichi Shimbun” Dr. Mahathir cuba menonjolkan dirinya sebagai juara negara-negara Islam apabila beliau menyentuh isu “Muslim Terrorist” ataupun “Pengganas Islam”. Tetapi ulasannya berkenaan isu tersebut akhirnya menjerat dirinya sendiri kerana pertuduhan yang beliau lemparkan dalam mempertahankan nasib umat Islam adalah sebenarnya perkara yang sama yang beliau lakukan terhadap umat Islam di negaranya sendiri. Sekali lagi kes gajah depan biji mata tak nampak!

Beliau mengatakan:

“Muslims are the real victims of organaised terror in the world. General feelings that Muslims tend to be violent, are unable to govern their countries well and inclined towards terrorism was mostly caused by media hype.”

(Umat Islam sebenarnya menjadi mangsa keganasan terancang dalam dunia ini. Pandangan umum bahawa umat mudah mengganas, tidak berupaya mentadbir negerinya dengan baik dan cenderung kepada tindak-tanduk keganasan sebenarnya diakibatkan oleh serangan pihak media.)

Apabila kita angkut penelitian Dr. Mahathir ini kembali ke tanah air, kita akan saksikan bahwa segala ulasan-ulasannya itu sekadar menanam tebu di bibir mulut, semata-mata untuk mengaburi mata dunia sedangkan dalam negara sendiri beliaulah yang merupakan perancang besar kegansan dan kebencian terhadap Islam! Bukankah beliau sendiri yang telah memperlekeh dan meperkecilkan keupayaan kepimpinan Ulamak di bawah Tuan Guru Nik Abd. Aziz Nik Mat sejak PAS menang di Kelantan pada tahun 1990. Bukankah Dr. Mahathir yang menyerang hebat Tok Guru sebagai MB dengan mengatakan bahwa biar ulamak menjadi ulamak dan ahli politik menjadi pentadbir? Serangan -serangan seumpama ini kita dengar dan saksikan setiap kali Dr. Mahathir membuka mulutnya untuk berucap dari bangunan Parlimen ke perhimpunan UMNO hinggalah ke kampung-kampung. Malah ketika lawatannya ke New York tak berapa lama dulu pun beliaulah yang bertanggungjawab menyerang teruk PAS dan kepimpinan Islam disana!

Inilah jenis pemimpin yang memimpin negara kita sekarang dan akan terus memimpin kiranya rakyat tidak segera menghentikan kedurjanaannya. Dr. Mahahtir dalam kepimpinannya sebagai PM tidak pernah menunjukkan kecenderungan untuk kembali kepada Islam, apa pun hanya jika Islam itu menguntungkannya dari segi politik barulah Islam digilap dan dijunjungnya, jika tidak Islam dianggap puaka yang menganggu tidurnya.

Roslan_s@yahoo.com