KINI - Rabu 031199
 
BPR Patut Siasat Semua Kes

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Zaki Hussin berkata semua individu yang disebut dalam akaun bersumpah Murad akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan (Berita Harian, muka 1, 2 Nov. 1999). Komen KINI tentang sikap BPR ini ialah syabas! Bravo BPR!

BPR sekarang cepat, cekap dan efisyen sekali. Tetapi jangan kes yang Murad dedahkan itu sahaja yang disiasat. Bagaimana dengan kes syarikat Perwaja? Masih tak selesai siasat? Nak tunggu kucing bertanduk? Sudah dipanggil Mahathir beri keterangan tentang kes Perwaja? Bagiamana pula kes Daim Zainuddin terima berjuta ringgit duit dan saham dari tiga tokoh korporat? BPR sudah siasat Daim, Tajuddin Ramli, Halim Saad dan Azmi Wan Hamzah?

Kes Rafidah dan Rahim Bagaimana?

Bagaimana dengan fail rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik? Agaknya BPR dah tutup. Tidakkah BPR sendiri kata ada bukti kukuh atau prima facie kedua-dua pemimpin itu melakukan rasuah? Hendak didiamkan sahajakah kes mereka. Janganlah BPR berat sebelah. Jangan siasat Anwar dan kawan-kawannya sahaja. Siasat juga Mahathir, anak-anaknya dan kawan-kawannya. KINI akan hormat BPR jika berani siasat kedua-dua pihak dengan jujur dan dilakukan secara profesional.

Kewibawaan Mahkamah Dipertikaikan

Marina Yusoff, Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, berkata beliau tidak akan mencabar akuan bersumpah Murad. Alasan Marina kerana beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah. Institusi kehakiman dikuasai kerajaan, kata Marina.

KINI fikir ini satu kejutan juga. Rakyat sudah tidak percayakan mahkamah dan hakim sekarang. Marina Yusoff seorang peguam. Dia tahu apa yang dia cakapkan. Tapi bagi rakyat biasa, tak payah jadi peguam pun boleh faham dan setuju dengan Marina. Inilah jasa Hakim Datuk Augustine Paul yang membicarakan Anwar Ibrahim selama 75 hari. Dalam perbicaraan yang panjang, rakyat nampak apa yang Marina nampak, iaitu institusi kehakiman dikuasai kerajaan. Hakim tunduk pada kehendak Mahathir. Mahathir campur tangan urusan mahkamah. Tiada lagi kebebasan mahkamah di Malaysia.

Sekarang Anwar Dibicara Lagi

Kali ini, di hadapan Hakim Datuk Ariffin Jaka. Hakim yang satu ini pun tak banyak beza dengan hakim yang terdahulu. Malah, Ariffin Jaka ada saham dalam syarikat Mirzan Mahathir, anak Perdana Menteri. Memang tak salah lagi kalau bukan Marina Yusoff sahaja yang sudah hilang kepercayaan kepada mahkamah sekarang ini. KINI pun sudah tak percaya lagi sistem perundangan dan keadilan di bawah Mahathir dan BN.

Abu Zahar Tuduh Anwar

Datuk Abu Zahar Isnin, Ketua Menteri Melaka, mendedahkan kononnya ada cubaan kroni Anwar Ibrahim untuk menyogoknya dengan menawarkan wang tunai semasa

perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan 1993. KINI rasa pelik pemimpin-pemimpin UMNO macam Datuk Abu Zahar Isnin ini. Kalau benar Anwar terlibat dalam kes sogok macam itu, kenapa dalam Perhimpunan Khas pada tahun 1996, (sebelum Perhimpunan Agung UMNO 1996) diluluskan satu resolusi supaya dua jawatan utama, iaitu Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO, tidak dipertandingkan.

Mana telur Datuk Abu Zahar pada ketika itu? Patut cucu cicit Hang Tuah dan Hang Jebat dari Melaka itu bangun menentang resolusi itu. Sekurang-kurangnya, kalau dia anak jantan, dia mesti kata Anwar mesti ditentang. Sekarang ketika Anwar dah jatuh, barulah Abu Zahar berani buka mulut! Siapa yang cadangkan Abu Zahar jadi Ketua Menteri Melaka menggantikan Rahim Thamby Chik? Mungkin Abu Zahar sekarang akan jawab, bukan Anwar, tetapi Mahathir. Eloklah tu! Ikut macam Menteri Besar Johor, jiran Melaka yang bernama Ghani Othman. Tidakkah sekarang musim orang-orang yang Anwar Ibrahim cuba naikkan dalam UMNO dan kerajaan dulu, kini pusing membelot dan mencincang Anwar habis-habisan?

MT UMNO Nak Bincang Akaun Politik RM3 Bilion

Hal ini diumumkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Johor Bahru. Eloklah Majlis Tertinggi UMNO itu segera bersidang. UMNO dulu, sekarang dan selamanya. Sebenarnya, sudah nazak. Anggotanya ramai sekali. Diberitahu kononnya melebihi dua juta orang. Tapi kekuatan dalaman UMNO sekarang sudah rapuh dan goyah. Puncanya rasuah yang sudah bernanah. Tubuh UMNO tak ubah macam tubuh orang ada pekung. Sekarang adalah musim sesama pemimpin UMNO membuka pekung masing-masing di khalayak ramai. Bau nanah dan darah kotor itu busuk dan hanyir sekali. Sebab itu anak-anak muda yang ada pendidikan dan idealisme menjauhi UMNO yang berpekung itu. Apa yang Shahnon tulis dalam novel SHIT itu memang tepat sekali menggambarkan wajah sebenar UMNO kini.

40 Tahun Umur Dewasa?

Parti Kongres India yang rasuah tumbang selepas 40 tahun berkuasa. Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP) yang rasuah juga tumbang selepas berkuasa selama 40 tahun. Parti Golkar Indonesia yang KKN (Korupsi, Kolusi dan Nepotisme) tumbang selepas memerintah selama 32 tahun. Kini, sampai giliran UMNO dan BN yang telah memerintah Malaysia selama 42 tahun. Segala ramuan dan rempah ratus dalam Parti Kongres India, LDP Jepun dan Golkar Indonesia yang membawa kepada kejatuhan mereka, semuanya sudah ada dalam tubuh UMNO dan BN. Pemimpin autokratik ada. Rasuah juga ada. Penyalahgunaan kuasa pun ada. Jadi pilihanraya umum Malaysia kesepuluh ini adalah detik penentu bagi UMNO dan BN.

Tamat