Kenyataan Media
Bentuk Suruhanjaya Bebas

Sejak Dato Abdul Murad Khalid menyiarkan Akuan Berkanun beliau dalam media, regim Dr. Mahathir telah mengambil kesempatan untuk melancarkan kempen besar-besaran untuk memburuk-memburukan dan mengaibkan Dato Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan beliau.
Kempen ini melibatkan Menteri-menteri Pusat, Menteri-menteri Besar, pemimpin-pemimpin UMNO serta tokoh-tokoh korporat, yang tanpa segan silu membuat kenyataan-kenyataan media yang tidak berasas dan liar sifatnya, untuk mendedahkan apa yang disifatkan mereka sebagai penyalahgunaan kuasa dan rasuah Dato Seri Anwar Ibrahim.

Kempen fitnah ini mempunyai dua matlamat:

Pertama, untuk mengalihkan fokus rakyat daripada perbicaraan mahkamah

Dato Seri Anwar yang sedang berlangsung, yang telah mendedahkan kecurangan, enyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa yang luar biasa di kalangan beberapa pemimpin UMNO di peringkat nasional. Oleh kerana penyelewengan mereka ini diberi liputan oleh media perdana, sebahagian daripada ahli-ahli UMNO yang masih taat kepada parti telah mula mempersoalkan kredibiliti kepimpinan mereka. Sudah tentu ini akan menjejas pengaruh Dr. Mahathir Mohamad dan regim beliau.

Kedua, kempen ini juga bertujuan melemahkan parti-parti alternatif, khususnya Parti Keadilan Nasional dalam menghadapi pilihanraya akan datang. Melalui kempen ini, regim Mahathir ingin menunjukkan kepada pengundi bahawa mereka tidak ada pilihan dalam pilihanraya kesepuluh -- kerana pemimpin-pemimpin keADILan dan Barisan Alternatif kononya juga terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Pendedahan sebegini akan memujuk pengundi mengekalkan kepimpinan yang ada kerana tidak ada suatu alternatif yang lebih baik.

Oleh itu, rakyat harus memahami motif Akuan Berkanun Dato' Murad dan kedudukan sebenar naskah tersebut.

1) Dato' Murad didakwa di Mahkamah pada 16 September 1999.

Ini bermakna bahawa beliau mengalami tekanan melalui proses perundangan. Apakah ini mungkin telah mempengaruhi keputusannya untuk membuat Akuan Berkanun?

2) Sebahagian besar daripada dakwaan-dakwaan yang terkandung dalam Akuan Berkanun Dato' Murad terlalu umum dan tidak disokong dengan bukti-bukti yang kukuh. Tidak diterbitkan satu nombor Akaun Induk Anwar, seperti mana juga tidak ada sebarang bukti tentang 20 Akaun
Induk yang kononnya diwujudkan oleh kroni-kroni Anwar.

3) Dakwaan-dakwaan umum ini harus dibandingkan dengan laporan- laporan polis tentang Dato' Paduka Rafidah Aziz, Tun  Daim Zainuddin, Tan Sri Eric Chia dan Tan Sri Rahim Tamby Chik yang dikemukakan oleh Dato Seri Anwar dalam tempoh 2 bulan yang lalu. Setiap pertuduhan beliau diperkukuhkan dengan dokumen-dokumen dan bukti-bukti yang lain yang dapat meyakinkan khalayak ramai.

4) Kesahihan Akaun Berkanun Dato' Murad telah pun dicabar oleh

beberapa individu-individu yang dibabitkan. Saya bukan sekadar menafikan dakwaan Murad tetapi juga bercadang untuk menyaman Dato' Murad di Mahkamah kerana mencemarkan nama saya. Tan Sri Abdullah Ahmad, Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Puan Marina Yusof, Naib Presiden keADILan dan Dato' Nasaruddin Jalil, tokoh korporat, juga telah menafikan isi kandungan

Akuan Berkanun Dato' Murad yang membabitkan mereka. Ini secara langsung menjejas kesahihan dokumen tersebut.

5) Akaun Berkanun harus dilihat juga dalam konteks beberapa dakwaan yang dibuat sebelum ini tentang wang yang disalurkan kepada Anwar. Pada 3 September 1998, dalam affidavitnya,
Dato' Nallakaruppan mendakwa bahawa beliau memberi 60 juta ringgit kepada Anwar. Dakwaan tersebut dinafikan oleh Dato' Nalla kemudiannya. Dua bulan yang lalu, Dr. Mahathir sendiri menuduh kononnya salah seorang kroni Anwar telah menghimpunkan 230 juta ringgit untuk kepentingan Anwar. Apabila dicabar, Dr. Mahathir tidak dapat membuktikan pertuduhan tersebut. Sekarang Murad mendakwa bahawa Anwar telah menghimpunkan kekayaan sebanyak 3 billion ringgit yang sepertimana dihujahkan tadi tidak disokong dengan bukti-bukti.

Parti Keadilan Nasional sekali lagi mencadangkan supaya sebuah Suruhanjaya bebas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh yang berwibawa ditubuh untuk menyiasat dakwaan-dakwaan Dato' Murad dan juga laporan-laporan polis yang dikemukakan oleh Dato Seri Anwar sejak bulan September 1999. Malah Suruhanjaya bebas ini harus menyiasat harta dan kekayaan semua pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang berkuasa sejak Dr. Mahathir Mohamad
menjadi Perdana Menteri tahun 1981.

Sekiranya penyiasatan oleh Suruhanjaya bebas yang berwibawa itu menunjukkan bahawa Anwar terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa atau rasuah Parti Keadilan Nasional tidak akan teragak-agak menolak kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim dan tidak akan mempertahankan beliau. Pada masa yang sama, sekiranya penyiasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya berkenaan itu mendapati Dr. Mahathir dan kuncu-kuncu beliau terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan
rasuah maka Dr. Mahathir dan pemimpin-pemimpin yang terbabit hendaklah meletak jawatan sebagai mendukung prinsip pertanggungjawaban.
 

Dr. Chandra Muzaffar

Timbalan Presiden

1 November 1999 Parti Keadilan Nasional (keADILan)