Pemansuhan lesen TV Mulai April 1999 - Satu Tanda Tanya.
 
Langkah pemansuhan lesen TV dalam belanjawan tahun ini adalah sangat dialu-alukan oleh rakyat. Biarpun idea pemansuhan ini telah terlebih dahulu dicetuskan dalam belanjawan BA, langkah kerajaan BN "menerima-pakai" tentang ketidak relevannya lesen TV pada zaman ini adalah merupakan satu lagi kejayaan rakyat disamping pembatalan? pengkorporatan hospital-hospital besar awam.

Walaupun begitu  banyak persoalan-persoalan  yang menjadi tanda-tanya saya dan mungkin sebilangan rakyat yang mengetahui duduk perkara tentang perkembangan Bahagian Perlesenen Kementerian Penerangan. Untuk pengetahuan umum sememangnya Bahagian Perlesenan Kementerian Penerangan telah dibubarkan pada bulan April 1999 berikutan langkah kerajaan untuk menswastakan bahagian lesen TV Kementerian Penerangan. Berikutan itu semua kakitangan telah diberi pilihan samada untuk diserapkan ke jabatan-jabatan di bawah Kementerian Penerangan ataupun memohon bertukar ke jabatan-jabatan lain yang sesuai dengan jawatan hakiki mereka. Penswastaan Bahagian Perlesenan ini memang tidak dihebahkan kepada umum tetapi pegawai-pegawai di Kementerian Penerangan memang mengetahui perkara ini.

Pembubaran Bahagian lesen TV tidak bermakna lesen TV dihapuskan tetapi rakyat tetap diwajibkan membayar lesen tersebut. Ini terbukti kerana rakyat masih lagi membayar lesen-lesen TV mereka melalui pejabat-pejabat pos di seluruh negara. Sekiranya benar Bahagian perlesenan telah diswastakan,  Siapakah yang mendapat hak memungut hasil kutipan cukai TV tersebut selepas penswastaan? dan Ke manakah kutipan lesen TV tersebut disalurkan?

Sekarang Daim telah mengumumkan bahawa lesen TV telah dimansuhkan sejak bulan APRIL 99. Adakah 01 April (bukan 01 November) 1999 dipilih kerana ianya "coincide" dengan pembubaran Bahagian Perlesenan Kementerian Penerangan yang telah diswastakan? Adakah kerajaan BN jujur dalam isu berkaitan lesen TV ini atau cuma mahu mengatasi belanjawan BA? atau adakah untuk menutup penyelewengan yang mungkin berlaku berikutan "penswastaan  sulit Bahagian berkenaan dari pengetahuan rakyat? Adakah ini satu lagi strategi mengelirukan rakyat yang telah menjadi amalan kerajaan BN sekarang ini?

Sekiranya kerajaan BN benar-benar jujur adakah kerajaan sanggup menyahut cabaran Setiausaha Agung DAP, En. Lim Kit Siang supaya kerajaan mengembalikan semula bayaran lesen TV yang telah dibuat oleh rakyat selepas 01 April 1999 tanpa sebarang kerenah birokrasi yang menyukarkan rakyat untuk mendapatkan kembali wang mereka?
 

Terus Terang, Terang Terus.