KINI - Selasa 021199

Perangai Busuk Pemimpin UMNO

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah jatuh, pemimpin-pemimpin UMNO yang lain bukannya simpati, tetapi tolong pukul lagi bekas Timbalan Presiden UMNO itu. Contohnya Ghani Othman, Menteri Besar Johor, pun berlumba-lumba melompat bandwagon untuk sama-sama kutuk, ketuk, hina, ungkit, caci nista dan tabur fitnah yang bukan-bukan terhadap Anwar. Kasihan Anwar, sudah jatuh ditimpa tangga.

Apabila Anwar Dipukul Ketua Polis Negara

Rahim Noor pukul Anwar sehingga lebam mata. Tak terdengar pun suara simpati Ghani Othman, Menteri Besar Johor itu. Masa Anwar jadi orang nombor dua dalam kerajaan dan UMNO, Ghani memperagakan dirinya sebagai orang Anwar. Ghani Othman ini betul macam kacang lupakan kulit. Elok juga Ghani ukur dirinya sendiri.

Apalah sangat dia ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaya dan Ketua Pemuda UMNO di Ledang dulu? Ramai orang UMNO di Johor lebih bijak dan berpengalaman daripada Ghani untuk jadi Menteri Besar. Tiba-tiba apabila Mahyuddin Yassin dipindahkan ke Kuala Lumpur, alih-alih Ghani Othman jadi Menteri Besar. Mahathir tolong Ghani atau Anwar yang tolong Ghani jadi MB Johor?

Kalau Ghani Othman Hendak Ceritakan

Ghani kata dia mahu dedahkan keburukan Anwar Ibrahim di Johor. Eloklah tu! Sekarang, musim orang dedah sana dedah sini. Hanya kita nasihatkan pada Ghani Othman satu perkara. Perkara pertama yang Ghani Othman kena dedahkan ialah tentang sepak terajang politik Anwar sehingga orang sepertinya yang tak berani berdepan dengan media atau takut berhujah dan berbahas dengan pembangkang boleh jadi Menteri Besar Johor Darul Takzim itu.

Kenapalah Anwar tolong naikkan orang macam ini? Ghani Othman patut nyatakan kekesalannya. Sekarang, bukan main lagi Ghani Othman cincang Anwar di Johor. Ingatkan pensyarah ekonomi dari kaki Gunung Ledang ini tinggi pekerti dan sahsiahnya, tetapi dua kali lima juga dengan budak-budak tepi Sungai Segget di Johor Bahru itu.

Ghani Othman Seronok

Ghani Othman seronok tengok Datuk Abdul Murad Khalid, bekas Penolong Gabenor Bank Negara, buat pendedahan memburuk-burukkan Anwar Ibrahim. Dia minta pemuda-pemuda UMNO Johor mendoakan keselamatan Abdul Murad itu. Siapa yang hendak pukul Murad itu? Yang pasti Ketua Polis Negara dulu pukul Anwar separuh mati.

Suka sangat Ghani Othman kalau rakyat percaya bulat-bulat apa yang Murad itu katakan. Dalam kegairahan Ghani Othman itu, dia pun berkata akan mendedahkan apa yang Anwar lakukan di Johor. Untuk tujuan itu, kita nasihatkan Ghani Othman supaya buka semula diari peribadinya.

Ghani Othman dan Konvensyen UMNO Johor 1998

Tengok diari - pada berapa hari bulan dulu - pada tahun 1998, sebelum Anwar dipecat. Periksa betul-betul ada atau tidak Ghani Othman selaku Ketua Perhubungan UMNO Johor menjemput Anwar Ibrahim ke Pulau Sibu, Mersing? Kalau ada, apa tujuan Ghani panggil Anwar itu? Tidakkah kerana UMNO Johor mengadakan satu persidangan atau Konvensyen UMNO tahun 1998?

Tentu Ghani Othman Tidak Lupa Hal Ini

Apa yang Ghani Othman ucapkan dalam Konvensyen UMNO Johor itu? Ghani kalau sudah lupa, sila beli semula surat khabar buruk. Pergi baca akhbar Berita Harian sehari selepas Konvensyen UMNO Johor di Pulau Sibu itu. Pada muka depannya, terpampang ucapan Ghani Othman di Konvensyen UMNO itu.

Apa yang Ghani ucapkan? Ghani Othman berkata Malaysia memerlukan reformasi. Malaysia memerlukan perubahan. Bersemangat betul Ghani Othman apabila Anwar berada di sisinya. Tidakkah yang Ghani Othman ucapkan di Konvensyen UMNO itu adalah ucapan yang mempunyai teks? Tidakkah memang Ghani menyokong reformasi? Kenapa malu sekarang untuk mengaku? Reformasi itu baik jika perubahan untuk kebaikan.

Apabila Indonesia Bergolak

Ghani Othman seronok tengok rakyat Indonesia bangun menuntut reformasi total. Akhirnya, regim Suharto, yang didokong tentera, tumbang. Ghani Othman di Johor pun naik semangat. Dia pun memikirkan perubahan juga akan berlaku di Malaysia. Rakyat sudah bosan dan marah dengan Mahathir Mohamad. Dia nampak Mahathir tidak lagi popular di kalangan rakyat. Malah, orang-orang UMNO mula menolak Mahathir.

Ghani nampak masa depan Anwar Ibrahim cerah. Anwar naik, Ghani pun dapat naik sama. Sistem rakit, kata orang UMNO. Untung-untung boleh jadi menteri kanan kalau Anwar jadi PM. Siapa tahu?

Antara MB dan Ketua Menteri

Menteri Besar Johor, Ghani Othman adalah orang yang paling awal menyahut seruan Anwar Ibrahim supaya rakyat negara ini bangkit membuat perubahan atau reformasi. Isu korupsi, kronisme dan nepotisme - atau KKN - di Indonesia juga kemudiannya timbul bergema di Malaysia.

Menteri Besar mana yang dipanggil oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi untuk merasmikan persidangan Pemantapan Ekonomi Pemuda UMNO beberapa hari menjelang Perhimpunan Agung UMNO tahun 1998? Tidak orang lain, melainkan Ghani Othman, Menteri Besar Johor.

Apakah tema ucapan Zahid Hamidi pada persidangan itu. Temanya reformasi. Bantah nepotisme dan kronisme. Apa pula yang Ghani ucapkan? Ghani Othman puji Pemuda UMNO dibawah pimpinan Zahid kerana memperjuangkan reformasi, menentang rasuah, nepotisme dan kronisme.

Kenapa Zahid Hamidi Jemput Ghani Othman

Ada puluhan Menteri Besar dan menteri lain boleh Zahid jemput, tetapi kenapa Ghani yang dipanggil? Jawapannya kerana antara yang ramai-ramai itu, Ghani Othman dilihat paling rapat pendirian politiknya dengan gerakan yang mahukan reformasi di Malaysia ketika itu.

Tetapi Ghani Othman Macam Kacang

Perangai kacang memang selalu lupakan kulit. Ghani anggap Anwar macam jambatan. Selepas dia berjaya menyeberang, jambatan itu dibakarnya, macam yang Rais Yatim selalu buat. Bagi Ghani Othman, Anwar itu macam tongkat. Apabila Ghani dah naik jawatan, tongkat itu dibuang.

Kerana nak kekalkan jawatan, Ghani Othman sanggup lakukan apa sahaja untuk memburuk-burukkan Anwar Ibrahim. Kalau Anwar Ibrahim masih bebas dirinya, tak apa juga kalau Ghani nak serang. Anwar boleh mempertahankan diri.

Tetapi Anwar Ibrahim sekarang berada dalam penjara. Macam-macam musibah, fitnah, pertuduhan dan dakwaan dihempapkan ke atas kepala Anwar yang sedang terpenjara itu. Setiap hari Anwar berhempas pulas membuat pembelaan di mahkamah untuk membersihkan dirinya.

Tak Kasihankah Ghani Pada Anwar?

Apa dosa Anwar kepada Ghani Othman sehingga dalam keadaan Anwar tidak boleh mempertahankan apa juga fitnah dan tuduhan liar itu, Ghani Othman sanggup lanyak dan tenyeh Anwar sampai begitu sekali. Kalau iapun Ghani hendak sokong Mahathir Mohamad, janganlah sampai menzalimi Anwar Ibrahim sedemikian rupa.

Ghani Othman Sedar

Rakyat Johor ramai yang tidak puas hati dengan Ghani Othman sebagai Menteri Besar. Salah satu punca kemarahan rakyat ialah tindakan Ghani Othman menswastakan sepenuhnya bekalan air Johor. Bil air di Johor sekarang naik. Proses penswastaan itu tidak telus. Perkhidmatan air sangat buruk di sesetengah daerah, misalnya Batu Pahat.

Kenapa Mahathir Tak Mahu Undur?

Patutlah Dr Mahathir Mohamad tidak mahu letak jawatan Perdana Menteri. Kalau boleh hendak pegang sampai mati. Ada rasionalnya juga. Mahathir faham. Dia lama dalam UMNO sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Perangai orang UMNO memang buruk macam Ghani Othman dan yang lain-lain juga.

Kalau pemimpin UMNO itu masih pegang jawatan kerajaan dan berpengaruh, semua orang mengaku kawan dan setia menyokong. Tetapi sebaik sahaja hilang jawatan macam Musa Hitam dulu, semua kawan lari tak mahu dekat.

Mahathir Dapat Lihat

Apa yang berlaku ke atas Anwar lebih dahsyat lagi. Mahathir sendiri dapat lihat kawan-kawan Anwar cepat-cepat putar habis jadi pembelot dan kutuk Anwar depan belakang. Jadi Mahathir pun fikir, kalau Anwar boleh diperlakukan sedemikian rupa oleh kawan-kawan baiknya sendiri seperti Ghani Othman, bagaimana pula kalau dia sendiri letak jawatan Perdana Menteri atau kalah dalam pilihanraya umum nanti? Mungkin pada ketika itu, orang-orang UMNO yang sekarang menyanjungnya akan belot dan menjadi orang yang paling lantang menuntut Mahathir diheret ke mahkamah untuk dibicarakan. Bukan di Indonesia sahaja yang ada Harmoko!

Tamat
 

        KINI - Isnin 011199
 
Sambungan Siri Fitnah Terhadap Anwar

Tidak cukup dengan enam tuduhan rasuah menyalahgunakan kuasa ke atas polis sehingga dijatuhi hukuman enam tahun, Anwar dituduh dengan empat pertuduhan salahlaku seks yang melibatkan kes meliwat. Itu juga tidak memadai bagi Dr Mahathir Mohamad dan konco-konconya. Tak dapat tanduk, telinga dipulas.

Sdr Idrus Ibrahim, abang Anwar, juga dituduh berkhalwat dengan isterinya sendiri yang sah. Berita liwat dan khalwat sama-sama keluar pada muka depan Utusan Malaysia pada 19 Oktober lalu. Anwar dan keluarganya sengaja dimalukan. Pendedahan yang terbaru ialah dari Datuk Abdul Murad Khalid, Bekas Naib Gabenor Bank Negara (BNM). Beliau mendedahkan kononnya Anwar mengawal sebanyak 20 Akaun Induk yang diuruskan oleh kroni-kroninya yang membabitkan aset, saham dan wang bernilai lebih RM3 bilion.

Siapa Datuk Abdul Murad Khalid?

Pada 16 September lalu, Datuk Murad telah didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mendedahkan maklumat sebenar mengenai saham-saham syarikat Ben Harta Sdn. Bhd. Dan 51 harta dalam pegangannya bernilai RM23 juta.

Abdul Murad Khalid ini akan dibicarakan pada 13 Mac tahun depan. Hanya selepas ditangkap, dan didakwa di mahkamah, barulah Abdul Murad membuat pendedahan tentang Anwar. Dalam persidangan akhbarnya pada 28 Oktober, Abdul Murad berkata, "Saya mengaku bahawa kenyataan yang saya buat hari ini tidak dipaksa oleh sesiapa atau bagi membantu memperoleh layanan istimewa dalam hubungan dengan tuduhan yang saya hadapi,". Tetapi itulah hal yang sebenarnya. Pendedahan yang dibuatnya dalam keadaan tertekan.

Penafian Tan Sri Abdullah Ahmad

Ramai orang yang dituduh oleh Abdul Murad masing-masing menerima sekian-sekian juta dari Anwar. Antaranya ialah Duta Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tan Sri Abdullah Ahmad. Menurut Murad, Anwar Ibrahim telah mengarahkan bayaran sebanyak RM5 juta kepada Tan Sri Abdullah. Tetapi pada hari yang sama, pendedahan Murad itu dibuat, Tan Sri Abdullah telah menafikannya. "Saya menafikan sekeras-kerasnya apa-apa kenyataan bahawa saya telah menerima wang berjumlah RM5 juta,".

Penafian Dr Chandra Muzaffar

Datuk Murad juga berkata Anwar telah mengarahkan bayaran sebanyak RM5 juta kepada Aliran dan Chandra Muzaffar. Pada hari yang sama juga, Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar menyifatkan Kenyataan Berkanun Murad sebagai pembohongan yang tidak munasabah sama sekali.

Dr Chandra turut menafikan pernah menerima RM5 juta daripada Anwar. "Tidak pernah Aliran dan saya sebagai individu menerima apa-apa wang daripada Anwar," kata Dr Chandra Muzaffar dalam satu kenyataan akhbar pada 28 Oktober.

Presiden Aliran juga telah membuat kenyataan serupa. Aliran dan Dr Chandra akan membawa saman memfitnah terhadap Datuk Murad atas kenyataannya.

Mahathir Guna Cara Gestapo Hitler

Tiga orang telah menafikan. Lebih ramai lagi akan tampil ke depan menerangkan keadaan dan kedudukan yang sebenar. Anwar Ibrahim juga mempunyai hak untuk membuat penjelasan.

Pendedahan Datuk Murad ini macamlah juga pendedahan orang tahanan Nazi yang ditangkap oleh polis Gestapo di bawah Hitler. Tidak terperanjat jika orang kepercayaan Anwar Ibrahim yang bernama Abdul Murad Khalid selepas ditahan dan dihadapkan ke mahkamah tiba-tiba mengkhianati dan memfitnah sahabat sendiri. Zaman Hitler lebih dahsyat lagi.

Kawan-Kawan Yang Membelot dan Memfitnah

Pada tahun 1944, seorang wanita Jerman telah mengkhianati suaminya sendiri dengan mengadu kepada Gestapo bahawa suaminya itu telah mengeluarkan kata-kata yang menghina diktator Hitler. Akibat aduan itu, suami wanita itu telah ditangkap dan dijatuhi hukuman bunuh menurut undang-undang Nazi. Kes ini dikenali sebagai "The Grudge Informer Case".

Fenomena seperti ini sedang muncul di Malaysia hari ini. Pada bulan Jun lalu, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, seorang lagi sahabat Anwar telah belot dan mengkhianati Anwar dengan tunduk meminta maaf kepada Mahathir Mohamad dan mengaku salah kerana kononnya mengikut kehendak Anwar supaya membangkitkan isu nepotisme dan kronisme dalam Perhimpunan Pemuda UMNO pada tahun 1998.

Senarai pembelot-pembelot ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Kerana jawatan, pangkat dan wang, ramai orang yang tidak tahan akan tekanan dan ugutan Gestapo Mahathir. Seorang demi seorang akan mengutuk, menghina, mendedahkan itu dan ini tentang Anwar.

Tuduhan Murad Serius Dan Amat Berat

Ini bukan perkara main-main. Wang RM3 bilion dikatakan terlibat. Orang-orang asing (Amerika) dikaitkan sama. Wang rizab negara dalam Bank Negara dan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga terancam. Pelbagai peraturan kewangan dan undang-undang dikatakan dilanggar.

Jadi satu hal perlu ditanya kepada Datuk bernama Abdul Murad Khalid. Anda seorang Datuk, bukan budak belum akil baligh. Anda juga bukan budak pejabat, tetapi Penolong Gabenor Bank Negara. Jika benar seperti yang anda dedahkan, kenapa selama bertahun-tahun ini anda biarkan saja hal ini berlaku begitu sahaja? Kenapa setelah anda ditangkap dan mahu dibicarakan, baru hal-hal ini didedahkan?

Jika Benar Anwar Bersalah Dan Rasuah

Jika benar Anwar bersalah dan rasuah sedemikian serius dan berat, seperti yang didedahkan oleh Abdul Murad Khalid, sepatutnya kes ini lebih dahulu dibicarakan. Tidak perlulah kes yang melibatkan tilam-tilam diusung dan ujian-ujian DNA dibentangkan di mahkamah dalam enam pertuduhan rasuah yang tidak melibatkan satu sen pun duit rasuah melainkan dakwaan kononnya menyalahgunakan kuasa polis. Dengan ada tuduhan baru ini, nampaknya perbicaraan terhadap Anwar akan berlarutan. Mungkin mereka mahu Anwar menghabiskan sisa umurnya dalam penjara.

Apa Abdul Murad Khalid Kata Dalam Sidang Akhbarnya?

Murad berkata, perbuatan Anwar mendesak tabung-tabung negara diuruskan oleh APPC sebagai "ancaman dan pengkhianatan kepada kepercayaan awam."

Murad juga berkata, "Apa yang saya nyatakan itu tanpa ragu-ragu membuktikan bahawa Anwar merupakan seorang pemimpin tidak berprinsip yang bersedia mengorbankan tabung-tabung negara untuk kepentingan politiknya dengan pertolongan elemen-elemen asing,"

Murad juga berkata, "Perkembagan-perkembangan semasa yang berlaku di negara ini yang mengancam ketenteraman awam dan kehidupan rakyat bagi memajukan cita-cita politik Anwar adalah bukti yang cukup untuk menyokong pernyataan ini,"

Seterusnya, Murad berkata, "Sekarang baru saya sedar bahawa pendekatan tersebut (polisi-polisi kewangan cadangan Anwar) merupakan rancangan politik Anwar untuk menghancurkan ekonomi negara dan menjatuhkan Malaysia dalam usaha menjemput Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membolehkan Anwar memaksa Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan beliau (Anwar) mengambil alih jawatan Perdana Menteri," kata Murad.

Pengakuan Atau Confession Abdul Murad

Murad sebenarnya bukan membuat pendedahan semata-mata. Beliau juga seperti petikan di atas telah membuat pengakuan atau confession. Cara pengakuan itu diucapkan, macam ada unsur-unsur asing atau politik dimasukkan untuk disesuaikan dengan selera Mahathir dan konco-konconya.

Pelik juga Murad yang satu ini. Setelah tersedar agaknya bukan main dia begitu prihatin tentang ketenteraman awam, pengaruh asing, IMF dan lain-lain ancaman dan bahaya. Bagi sesiapa yang sudah faham tentang modus operandi Special Branch (Cawangan Khas), terasa semacam ada perisa atau flavour Special Branch dalam teks pendedahan dan pengakuan Abdul Murad Khalid ini.

Ada Lagi Kutukan Dan Umpat Keji Terhadap Anwar?

Ada. Akhirnya, Datuk yang baru akil baligh ini yang bernama Abdul Murad, baru tersedar perbuatan berdosanya, agaknya. Lalu, dengan muka sedih, sama macam Ahmad Zahid Hamidi juga, seorang lagi Datuk yang baru sampai akil baligh, kedua-duanya meminta maaf.

Zahid lebih teruk. Dia hanya meminta maaf pada Mahathir Mohamad sahaja. Tetapi Murad lebih luas pinta kemaafannya. Dia meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana membiarkan dirinya diperalatkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua pembelot dan pemfitnah ini meletakkan kesemua kesalahan ke atas diri Anwar Ibrahim.

Apakah dengan fitnah dan pendedahan - yang dipertikaikan kesahihannya -bermakna pembelot-pembelot ini boleh cuci tangan selepas menyerah tunduk pada kehendak Mahathir dan para konspirator tertinggi itu?

Apa Tindakan Kerajaan Sekarang?

Jadi sekarang sampai kepada hal yang terpenting. Pendedahan serius dan berat Abdul Murad Khalid telah diketahui umum. Jadi apa tindakan kerajaan? Tak cukup dengan tahu mendedahkan sahaja dengan tujuan mendapat faedah politik pilihanraya semata-mata. Siasat mesti siasat setiap tuduhan Murad itu. Suruh BPR siasat? Tak cukup. Tak kena. Tak padan. Tak telus. BPR kerja tak efisyen. BPR takut dan tunduk pada Mahathir. Siasatan Perwaja masih tak selesai. Jadi bagaimana? Segera tubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk siasat segala tuduhan Murad ini. Tapi ingat. Siasat mesti adil. Dacing BN ada dua piring. Satu kanan dan satu kiri.

Jangan Anwar Sahaja Yang Disiasat.

Mesti siasat sama tentang penglibatan Mahathir Mohamad dalam kes Perwaja. Siasat Mahathir Mohamad dalam kes mengarahkan Petronas selamatkan syarikat perkapalan Mirzan, anaknya. Siasat bisnes anak-anak Mahathir, yang menguasai lebih 200 buah syarikat. Kemudian siasat penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran undang-undang oleh Mahathir dalam projek mega Putrajaya, yang melibatkan kos keseluruhannya RM20 bilion.

Bukan Anwar dan Mahathir Saja Disiasat

Tetapi siasat juga Daim Zainuddin yang terima duit dari tokoh-tokoh korporat dan dakwaan Anwar tentang Daim kebas duit negara. Siasat Rafidah Aziz, Megat Junid, Rahim Thamby Chik sekali. Pendek kata jangan pilih-pilih. Tak kira siapa yang rasuah, siasat semuanya. Jangan pilih bulu.

Mari kita bersihkan ke akar umbi gejala rasuah, kronisme dan nepotisme dari bumi Malaysia ini. Mahathir berani? Daim berani? Konco-konco Mahathir yang lain berani? Anwar tak perlu takut apa-apa lagi. Kalau tuduhan liwat yang sedang beliau hadapi sekarang dan kes sebelumnya dengan segala tilam dan saksi-saksi yang sensasi itu dapat beliau hadapi dengan tenang, maka fitnah yang terbaru dari Murad ini boleh ditangani dengan berani. InsyaAllah.

Tamat