Pengarah JPN Kempen BN di SMK Agama Baling,KEDAH.
 
Saudara Pengarang,

Saya ingin melahirkan rasa kecewa yang amat sangat dengan tindakan Tuan Haji Hassan Hashim,Pengarah JPN Kedah yang datang berkempen UMNO dan BN di sekolah kami baru-baru ini.

Sebenarnya majlis tersebut adalah majlis Ceramah mengenai Sekolah Bestari 2000. Pihak sekolah telah menjemput Haji Hassan untuk menyampaikan ucapan tersebut. Malangnya hanya hanya 10 minit pertama sahaja beliau bercerita dan bercermah mengenai dunia pendidikan. Selepas itu Haji Hassan mula merapu. Beliau seolah-olah memberi amaran kepada guru-guru supaya jangan membangkang kerajaan. Guru-guru mestilah sama-sama membantu untuk mengekalkan kerajaan yang sedia ada.

Menurutnya lagi, kerajaan BN banyak memberi kejayaan dan kemajuan kepada negara. Kepimpinan Pu**Mak amat berjaya memartabatkan negara di mata dunia. Malaysia telah maju berbanding dengan negara-negara lain. Guru-guru semua dapat berkerja dan memperoleh pendapatan yang diberikan oleh BN. Haji Hassan menambah lagi bahawa, guru-guru patut bersyukur kepada kerajaan BN yang berjaya mengamankan negara.

Guru-guru diingatkan jangan sekali-kalai cuba untuk terlibat dengan reformasi.Reformasi adalah budaya Barat yang didalangi oleh Amerika. Menurutnya lagi golongan yang menyokong pembangkang adalah golongan yang mendurhaka kepada negara dan kerajaan BN. Mereka yang didapati terlibat dalam politik pembangkang atau menyatakan sokongan kepada pembangkang akan diambil tindakan oleh beliau. Guru-guru yang dikenalpasti akan ditukar jauh-jauh ke kawasan pedalaman. Beliau mencabar mana-mana guru yang tidak menyokong BN hendaklah secara berani meletakkan jawatan.

Sebagai salah seorang guru sekolah ini yang mengikuti kursus tersebut, saya mewakili semua guru melahirkan rasa kecewa yang amat sangat dengan telatah Pengarah JPN Kedah. Apa yang saya faham bahawa guru-guru diingatkan jangan berpolitik dan memihak kepada mana-mana parti pembangkang. Ini diingatkan sendiri oleh Tuan Haji Hassan melalui surat yang dihantar ke sekolah-sekolah. Yang peliknya saya lihat ke mana sahaja beliau pergi, beliau akan bercakap seolah-olah beliau mewakili Barisan Nasional dan berkempen pilihanraya untuk memenangkan BN.

Saya amat berharap agar pihak Kementerian Pendidikan dapat membuat siasatan terhadap telatah dan gelagat Tuan Haji Hassan yang terang-terang nampaknya berpolitik dan mengugut guru-guru sekolah.Moga-moga dengan tindakan yang bakal dikenakan ke atas Tuan Haji Hassan oleh pihak Kementerian Pendidikan sebagaimana yang telah dikenakan ke atas guru-guru lain akan dapat menyelamatkan keharmonian dan kestabilan pendidikan di negeri Kedah.

Akibat telatah beliau, pihak sekolah terpaksa membatalkan beberapa aktiviti yang melibatkan beliau kerana tidak mahu beliu datang untuk berkempen UMNO dan BN lagi.
 

Sekian, wassalam.

Cikgu Baling,
KEDAH.