MAHASISWA SOKONG PETISYEN RAKYAT!

  MAHASISWA, PELAJAR DAN BELIA MENYOKONG PETISYEN TUNTUTAN RAKYAT.

Saya merupakan penuntut universiti di sebuah universiti yang terawal di Kuala Lumpur yang terkenal dengan demonstrasi pelajar. Saya telah memerhatikan perkembangan tentang penglibatan mahasiswa dalam menongkah kebangkitan rakyat yang menyokong PETISYEN TUNTUTAN RAKYAT ke arah mewujudkan negara yang adil dan bermaruah.

Seperti yang telah kita ketahui, baru-baru ini 8 gabungan persatuan pelajar yang terbesar di Malaysia telah bersatu dan bermuafakat. Lalu tercetuslah satu permulaan kebangkitan mahasiswa ke arah menuntut kebaikan bagi rakyat persis gerakan pelajar yang pernah wujud sekitar tahun-70 dahulu.

Syabas saya dan rakan-rakan terhadap mereka yang berjaya dalam rundingan pelajar tempoh hari. Percayalah, perkara inilah yang amat ditakuti kerajaan. Ini kerana tuntutan mahasiswa adalah ikhlas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mahasiswa lebih dipercayai dan dihormati rakyat berbanding tokoh-tokoh dari parti politik. Mahasiswa lebih dekat dengan rakyat berbanding politikus oportunis kerana mereka adalah dari kelompok masyarakat itu sendiri.

Apa yang dituntut oleh gabungan mahasiswa terbabit adalah bertepatan dengan perkembangan di negara kita. Apatah lagi tarikh pilihanraya khabarnya sudah semakin hampir. Perkara yang dituntut oleh gabungan mahasiswa tersebut tentu sekali menunjukkan bahawa mahasiswa sendiri mahu turun padang dalam memastikan pilihanraya ini berjalan dengan bersih dan telus.

Antara tuntutan PETISYEN RAKYAT tersebut adalah pemansuhan undi pos, pewajiban dakwat tanda bagi mereka yang telah memangkah kertas undi serta menyenarai penuh nama 608,804 pengundi-pengundi baru dengan segera.

Bagi kami, golongan yang akan memangkah kertas undi buat pertama kalinya pada pilihanraya yang akan datang, SPR hendaklah menjadi badan yang benar-benar bersih dari dilacur oleh tangan-tangan kotor disekelilingnya. Ini adalah kerana kebanyakan pengundi baru terdiri daripada pelajar, belia serta anak-anak muda. Mereka inilah yang mempunyai aspirasi tinggi dalam menyambung wadah dalam memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa terjamin dan terbela.

Sekiranya tuntutan ini tidak dipenuhi, ini adalah sama seperti menafikan kematangan kami. Sesungguhnya kami sedar tentang lunas-lunas dan hak yang telah diperuntukkan kepada kami oleh masyarakat sedunia tentang konsep dan pengertian demokrasi dalam erti kata sebenar.

Pasti sekali sekiranya ini berterusan, saya tidak terperanjat sekiranya golongan belia akan turun ke jalan-jalan raya untuk memberitahu dunia bahawa kami tidak akan sama sekali mengiktiraf keputusan pilihanraya tersebut.

Ini bukanlah perkara mustahil. Indonesia contohnya dalam tahun 1997, di mana dunia melihat bagaimana Presiden Haji Muhamad Suharto telah ditolak rakyat kemudiannya meskipun mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya.Tuntutan di atas adalah yang adil, jujur dan baik dalam ertikata sebenar  demokrasi.

Akhir kata, tiada siapa dapat menafikan, kami adalah pewaris kepimpinan negara. Dari itu, berlakulah adil kepada kami. Berikanlah kami sebuah negara  yang kukuh pada masa hadapan baik dari segi ekonomi,politik, sosial dan sebagainya. Berilah kami peluang untuk menunjukkan bahawa Malaysia bukanlah satu negara yang begitu 'kotor' yang acapkali dicemari oleh pemimpin sendiri.

MAHASISWA BAKAL PENGUNDI.